Masak-masak: Popia Cheese Pedas dan Rangup | NaSa
Assalamualaikum

Apa khabar kawan-kawan? Semoga anda dalam keadaan sihat sejahtera selalu, Amin...

Aku pun sihat juga Alhamdulillah. Dan dalam entri ini, aku excited sikit nak bercerita sebab projek menjahanamkan dapur kita pada kali ni adalah untuk buat salah satu kudapan kegemaran aku, iaitu kerepek POPIA CHEESE.
😋
Bercakap pasal popia cheese ni kan...seingat aku, sekitar tahun 2016-2017 dulu cuma ada satu je jenama tersohor yang jual popia cheese ni iaitu Wonder Cheese. Tu pun tahu sebab ramai kawan yang jadi dropship dan jual untuk tugasan kelas Keusahawanan masa kami semester 4 di KPM Ayer Molek. Aku pernah juga try sebotol. Sedap tapi harga RM24 untuk berat bawah 500 gram tu bagi aku agak mahal dan sedikit. So dah tak repeat order sebab tak mampu hehe
Daripada RM25 kepada RM28 agak berat juga nak membayar ya...😅
Tapi kebelakangan ni, jenama popia cheese dah makin bercambah bak cendawan lepas hujan. Siap ada macam-macam jenis popia lagi. Perisa seaweed la, coklat la. Harga pun pelbagai. Bila dah ada banyak jenama ni, dari situ la aku jumpa alternatif lain yang setanding dengan Wonder Cheese iaitu Popia Cheese PADU kat atas ni.

Dari segi harga, mula-mula okey sebab dia jual RM25 untuk 800+ gram, lagi banyak daripada Wonder Cheese. Cuma rasa dia agak tak konsisten sebab botol pertama aku beli tu sedap. Tapi bila order kali kedua, rasa dia agak pahit macam terlebih serbuk cili. Pastu harga pun makin lama makin naik daripada RM25, jadi RM26, paling terkini dah jadi RM28. Terus tak jadi repeat order 😅

Rasa terkilan sebab naik harga tu ada tapi pada masa sama, aku faham la kalau naik harga sebab pesaing dia jual harga sama pada kuantiti sikit. Rugi la dia kalau jual lebih banyak tapi pada harga rendah kan. Dah la kulit popia ni renyah sebab makan masa dan tenaga nak cabut satu persatu. Pastu seller ni punya bungkus dengan bubble wrap tu tebal tau untuk elakkan kulit popia pecah dan customer dapat botol yang tampak penuh seperti masa diisi. Kos semua tu nak kena kira.
Dia punya padu bab bubble wrap tu memang popia aku tak pecah pun masa pos.
Tapi aku tetap tak mampu la nak beli selalu kalau dah mahal kan. Makanya...aku beli serbuk cheese untuk buat sendiri je la. Lagipun bahan-bahan nak buat popia cheese ni sekarang dah mudah nak dapat. Tak payah pergi ke kedai. Cari je di Shopee, memang berlambak orang jual. Tinggal bayar dan tunggu posmen hantar ke rumah je. Cepat dan mudah.
Let's get cooking! 💪
BAHAN-BAHAN UNTUK POPIA CHEESE:
            ♥ Sepeket kulit popia
            ♥ 15 sudu besar serbuk cheese
            ♥ Sepeket serbuk cili
            ♥ 8 sudu besar gula pasir
            ♥ Minyak untuk menggoreng
**Sukatan hanya anggaran. Boleh ubah ikut citarasa sendiri sebab aku pun ubah ikut lidah aku je

Serbuk cheese aku beli dari Shopee @supermartbakery. Rasa dia mirip serbuk cheese jajan Super Ring. Kalau makan sendiri je serbuk cheese tu, agak masin rasa dia. Sebab tu seller pun dah letak nama siap-siap "kena tambah gula halus". Tapi tu pun ada yang tak baca dan bagi rating rendah sebab katanya "mAsiN" 😂 rajinkanlah membaca tuan-tuan dan puan-puan semua...

Untuk kulit popia, aku prefer jenama Pertama. Sebab sepanjang karier aku buat popia gulung untuk raya, jenama Pertama ni je yang potongan dia memang segi empat cantik dan susunan setiap helai kulit popia tu pun sekata. Senang la nak potong. Ada jenama kulit popia lain tu yang susun tunggang langgang. Nak potong segi empat kecil-kecil pun susah sebab tak sama saiz.

Serbuk cili tu guna je jenama apa-apa. Aku main ambik je jenama Baba's ni sebab nampak ada yang peket kecil camtu. Nak beli yang besar, takut tak habis guna. Kita kan baru nak belajar buat.

Untuk gula, elok guna gula pasir. Aku mula-mula guna gula kastor sebab ada resepi tu ajar guna gula kastor. TAPI TAKDE RASA MANIS LANGSUNG! Buat bancuhan lain guna gula pasir baru la naik rasa manis dia. Terus aku boikot gula kastor dalam resepi ni haha

CARA BUAT POPIA CHEESE (rujuk gambar ya):

1) Potong kulit popia kepada segi empat kecil-kecil.
Potong kecil nanti lepas goreng nampak la ilusi 'banyak' haha
Part potong kulit popia ni bebas ikut citarasa masing-masing sebenarnya. Ada orang yang gulung dulu baru potong, macam cara buat popia nestum tu. Ada yang potong segi empat macam ni. Aku prefer potong segi empat sebab nanti serbuk cheese tu senang nak salut. Kalau gulung nanti rasa tepung lagi banyak daripada rasa cheese dan tak seimbang.

Saiz potongan nak kecik atau besar tu, bebas takde masalah. Aku potong 6x6 ngam-ngam saiz mini; cepat digoreng, senang disalut serbuk cheese, dan mudah masuk mulut masa makan.

2) Leraikan setiap lapisan kulit popia yang dah dipotong.
Penuh sebekas.
Sambil tengok anime Yowamushi Pedal, sambil aku leraikan kulit popia ni sehelai demi sehelai. Dalam 3-4 episod camtu, dah habis aku leraikan kesemuanya maka dapat la sebekas tupperware macam ni. Ni pun aku tak guna kesemua kulit popia tu. Aku ambik dalam 4/5 je kot sebab nak test dulu bancuhan serbuk cheese kali ni dan nak try lagi lain kali dengan bancuhan baru.

Nota kaki, masa proses leraikan tu, tutup bekas berisi kulit popia tu dengan kain lembap untuk elakkan kulit popia jadi kering.

3) Goreng kulit popia sehingga berwarna keemasan.
Kulit popia berlipat itu lumrah lol
Panaskan minyak dalam setengah kuali macam tu dan goreng dengan api sederhana. Kulit popia ni nampak je nipis tak menyerap macam tu tapi banyak juga minyak nak pakai. Masukkan kulit popia sikit-sikit biar senang untuk masak sekata semuanya. Kalau letak banyak-banyak nanti susah nak kawal sebab kang ada yang belum masak rata lagi tapi yang lain dah terlebih masak gaya nak hangit (pengalaman daripada goreng popia gulung dulu-dulu)
Kulit popia yang dah siap digoreng.
Ambik kau bukan main besar lagi kulit popia ni mengembang lepas dah selesai digoreng. Sampai kena letak dalam besen baru muat. Padahal masa aku leraikan tadi nampak macam sikit je kulit popia mentah tu. Ni dah ibarat nak buat jamuan makan sekampung pula. Macam ni baru la puas hati nak makan kan.

4) Kisar serbuk cheese, serbuk cili, dan gula pasir sampai sebati.
Aku kisar secara berperingkat
Kalau ada food processor bersaiz besar yang boleh muatkan banyak serbuk cheese dan gula tu, kisar la semua sukatan sekali harung. Aku guna blender kering saiz kecik ni je so nak kisar semua sekali tu tak muat. Maka aku kena pecahkan 4 sudu serbuk keju, 2 sudu gula, 1 sudu serbuk cili untuk pastikan semuanya sebati elok.
(tapi akhirnya kaedah sudu untuk serbuk cili tu tak function sebab aku letak sepeket terus baru la rasa best pedas dia hahah)

Cumanya menyampah guna blender kering ni sebab dia kan kena terbalikkan untuk letak atas motor tu. Lepas tu kena buka balik untuk kisar bancuhan seterusnya pula. Duk main buka tutup tuang, buka tutup tuang, memang habis melekit-lekit sebab serbuk keju berterbangan. Pastu  bunyi masa kisar tu kuat pula. Dah la aku blend ni pukul 1 pagi semalam. Kemain bergegar dapur masa orang lain tengah tidur 😂

5) Masukkan kulit popia ke dalam botol, taburkan serbuk cheese, goncang hingga sebati.
Satu...
Dua...
Tiga...
Masukkan kulit popia dan serbuk cheese tu sedikit demi sedikit ya. Baru la mudah untuk digoncang botol tu sampai kulit popia semua dah sebati bersalut dengan serbuk cheese. Kalau letak banyak-banyak sekaligus, nanti tak ada ruang untuk kulit popia tu bergerak masa kita goncang. Dan minyak dalam kulit popia tu boleh buat serbuk cheese jadi berketul dan tak boleh nak salut kulit popia tu elok-elok. Nanti tak sedap sangat popia cheese tu kalau warna pudar je.

Ulang langkah ni sampai kulit popia habis dan botol pun penuh berisi. HASILNYA...
Ibarat beli di kedai kan 😁
Alhamdulillah lepas beberapa jam bertungkus-lumus di dapur tengah-tengah malam semalam, akhirnya siap juga popia cheese permulaan aku. Dan sebab nama pun permulaan kan, rasa dia belum cukup umph sepenuhnya lagi. Setakat ni rasa dia macam cukup-cukup je dan aku belum dapat lagi balance antara masin manis pedas lemak yang aku nak.

Botol besar tu bagi aku agak memuaskan sebab bancuhan serbuk cheese yang tu guna gula pasir dan aku letak agak banyak serbuk cili. Jadi rasa manis dan pedas dia tu dah ada. Cuma dari segi lemak belum cukup terasa. Mungkin lain kali kena letak lebih banyak serbuk cheese.

Yang botol kecil tu pula, bancuhan cheese dia tu aku guna yang aku terletak gula kastor yang tak berapa manis tu. Alang-alang ada lagi kulit popia yang tak muat nak isi dalam botol besar tu, aku guna je la bancuhan tu biar tak membazir. Sayang nak buang sebab agak banyak juga aku blend mula-mula tu. Nanti habis pasni, aku nak konsisten guna gula pasir je.

Dan tak ada masalah pun untuk buat eksperimen bancuhan lain lagi lepas ni sebab ada BANYAK lagi serbuk cheese yang masih tinggal lepas aku buat eksperimen semalam hehe
Hampir 3/4 lagi serbuk cheese masih ada.
Ada hikmah la aku beli yang 500 gram haritu walaupun pada mulanya aku was-was sebab macam terlalu banyak je. Tapi dah namanya pun budak baru nak belajar kan, of course cubaan pertama ni belum tentu berjaya sepenuhnya. Jadi bila ada banyak lagi lebihan bahan mentah ni, boleh la kita terus praktis sampai jadi lepas ni. Lagipun alang-alang dah nak masuk bulan puasa kejap lagi, boleh praktis untuk buat kudapan raya sekali 😉

Anggaran kos yang dikeluarkan untuk popia cheese buatan sendiri ni:

Serbuk cheese        - RM16.00
Kulit popia                - RM5.00
Serbuk cili                - RM1.00
Minyak (1kg)             - RM3.00   
Jumlah                      - RM25.00
(gula tak kira sebab guna yang dah ada di rumah but overall cost should still be affordable)

Pada harga yang sama dengan sebotol popia cheese yang dijual di kedai, kita boleh beli bahan mentah untuk buat sendiri di rumah dan dapatkan kuantiti yang lebih banyak lagi  sebab serbuk cheese tu boleh guna untuk 3-4 peket kulit popia. Sangat-sangat jimat kos ya. Nak makan pun puas hati sebab boleh adjust bancuhan bahan tu sampai puas hati dengan lidah kita.

Maka bagi sesiapa yang nak jimat duit dan ada banyak masa macam aku, boleh la buat sendiri popia cheese ni alang-alang cara buat pun mudah kan. Tapi bagi sesiapa yang sibuk tak ada masa nak buat eksperimen sendiri dan tak kisah keluarkan duit untuk beli produk yang dah siap dan memang terjamin rasa sedapnya, boleh je beli yang dah siap. Tak ada halangan hehe. Lain orang, lain keadaan dan citarasa.

Itu saja kisah untuk kali ini. Harap bermanfaat kepada anda. Terima kasih kerana membaca.

Jumpa lagi. Bye dan Assalamualaikum.

SHARE 6 comments

Add your comment

  1. Wow rajinnya buat sendiri tapi memang berbaloi lah buat sendiri. Dulu wonder cheese tu memang viral sebab sedap tapi a little bit pricey. Haritu buat popia nestum punn letih tang menggulung bentuk popia tuuu 😂

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benda sedap memang selalu melubangkan poket hahaha. Yeee kalau buat popia nestum ni leceh benar nak menggulungnya. Pastu dah siap gulung sekali hujung tu taknak melekat pulak. Dah melekat nak kena gunting sama besar pulak. Stress 😂

      Delete
  2. yummy!! hari tu masa PKP my SIL ada jual ni, tapi now dah stop sbb dia dpt kerja tetap dah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulilah tahniah SIL dah dapat kerja. tp boleh jugak sambung jual ni as side income sbb banyak orang demand hehe

      Delete
  3. uiii ngam ni untuk kudapan raya nanti hehe

    ReplyDelete

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS