Assalamualaikum
Yeaaah lama sikit cuti menulis kalini. Tak busy pun. Cuma mood nak hadap kerja penulisan sepanjang minggu lepas tu agak merudum jadi aku beralih kepada hobi satu lagi iaitu menonton anime dan filem. Terbalik sikit sebab sepanjang aku aktif bebenor publish entri hampir setiap hari tu, aku tak tonton apa-apa cerita pun walaupun ada banyak je dalam senarai nak tengok. Ikut giliran mood haha
Macam haritu, aku terlintas nak tengok filem seram Thailand iaitu The Medium ni sebab banyak kali tengok orang share ulasan di Twitter cakap bagus. Sis pula memang peminat cerita seram. Cerita ni pun keluaran negara Thailand yang jaguh dalam penerbitan genre seram kan. Maka harus la kita tengok!
SINOPSIS:
Bertempat di wilayah Isan di Thailand, filem terbitan 2021 berkonsep dokumentari ni berkisar tentang kajian sekumpulan pengkaji terhadap kehidupan Nim, seorang dukun dan perantara (medium) yang ditumpang jasadnya oleh semangat Ba Yan, iaitu Tuhan yang disembah oleh masyarakat wilayah Isan.
Pada permulaan filem ni, dokumentari tersebut banyak temuramah Nim untuk tahu pasal sejarah Ba Yan dalam keluarga Nim, kehidupan Nim sebagai perantara, dan upacara penyembahan Ba Yan yang dibuat oleh masyarakat setempat. Tapi selepas abang ipar Nim meninggal akibat kanser, fokus cerita bertukar sedikit dan berpecah kepada anak saudara Nim pula, iaitu Mink.
Sejak kematian ayah dia, kelakuan Mink banyak bertukar menjadi aneh. Selain tu, Mink juga kerap alami sakit yang melampau, terutamanya di bahagian alat sulit. Masalah kesihatan yang dialami dan faktor-faktor lain membuatkan prestasi kerja Mink merudum dan akhirnya dia dipecat. Akibat stress, Mink cuba bunuh diri tapi mujur mak dan pak cik dia sempat selamatkan dan bawa ke hospital.
Pada awalnya, Nim ingatkan Mink dah dipilih sebagai perantara generasi baru sebab simptom yang dialami Mink hampir sama macam Nim sebelum dia jadi perantara dulu. Tapi masa tu Noi tak izinkan untuk turunkan semangat Ba Yan kepada Mink sebab tak nak anak dia jadi dukun. Lepas cubaan Mink untuk bunuh diri tu barulah Noi setuju nak buat upacara tersebut tapi plot twist Nim pula tak setuju.
Sebabnya Nim yakin bahawa bukan semangat Ba Yan yang cuba menumpang dalam badan Mink tu tapi 'benda' lain. Bahaya la kalau buat upacara sembarangan. Masalahnya Noi ni pula keras kepala dan buat juga upacara pewarisan semangat tu tanpa pengetahuan Nim. Akibatnya, Mink jadi lebih teruk dirasuk dan di sinilah lebih banyak plot twist berlaku dalam dokumentari tersebut. Jeng jeng jeng...
ULASAN (mengandungi spoilers):
Pendapat peribadi, tidak mengecewakan!! Patutlah filem ni berjaya menang anugerah.
Boleh tak aku nak cakap yang aku sangat sangat suka konsep dokumentari dalam filem ni?
Sebab dokumentari kan rakam suasana dunia realiti. Berbeza dengan filem fiksyen yang kamera dah ditetapkan dari sudut tertentu, kamera dokumentari biasanya dipegang manual untuk rakam kehidupan masyarakat setempat dengan lebih dekat. Jadi pergerakan kamera tu rasa serupa kita sendiri pegang. Masa babak kejar-mengejar pun, kamera goyang masa jurukamera lari pun rasa macam kita yang lari. Tu yang aku sikit lagi nak percaya filem ni adalah cerita benar 😂
Konsep dokumentari ni juga menarik sebab jurukamera pun watak sebenar dalam cerita ni. Bagi aku, ia tambahkan lebih elemen saspens dalam filem ni. Sebab kesan rasukan roh jahat tu boleh kena kat jurukamera juga, dan tindakan mereka pun boleh affect jalan cerita. Contoh kalau babak mengejutkan jadi, ia buat aku jadi dilema antara nak jurukamera tu letak kamera dan tolong tahan Mink, atau teruskan rakam untuk kumpul bukti perubahan Mink, atau lagi baik kalau mereka lari selamatkan diri sendiri je?
Selain itu, persembahan para pelakon pun mantap. Nampak natural dan memang bagi vibes macam mereka betul-betul penduduk kampung situ. Aktres yang bawakan watak Mink tu pun hebat ya sebab menjadi dia jayakan babak-babak masa kena rasuk tu, walaupun termasuk dalam kategori jijik dan tak sanggup aku nak tengok. Contoh masa dia rebus dan makan anjing dia tu emmmm wekkkk
Aku suka juga yang elemen seram dalam filem ni bukan pasal hantu berdarah/muka jijik, atau jump scare hantu keluar mengejut. Sebaliknya, mereka ketengahkan tema rasuk. Ada kelainan la sebab kalau tema kena kacau hantu, biasanya sebab orang tu pergi ke tempat yang memang ada roh jahat tu kan. Tapi rasuk ni ada kala sebab tempat tu 'keras', dan boleh jadi juga roh jahat tu 'dihantar' oleh orang lain.
Tema rasuk ni pun aku rasa relatable kepada lebih ramai penonton tanpa mengira agama. Sebab cara berubat je yang berbeza mengikut kepercayaan masing-masing, tapi kesan rasuk tu sama je. Bukan setakat mangsa yang terkesan, keluarga mereka pun berisiko. Dan filem ni tunjukkan kesan ke atas Mink tu dengan agak mendalam la, daripada dia diam-diam buat hal sampai tak terkawal terus. Tu jadi 2 jam.
Detik sebelum keadaan Mink mula merosot lebih teruk. Tengok betul-betul pantulan muka Mink di cermin kereta tu 👀 |
Bagi sesetengah orang, filem ni mungkin akan rasa bosan sebab tak banyak dialog, kecuali masa temuramah dan masa watak tu bercakap dengan satu sama lain. Selebihnya, banyak tunjuk keadaan sekeliling dan kelakuan atau aktiviti watak-watak tu. terutamanya kelakuan Mink masa kena rasuk.
Tapi nama pun dokumentari berasaskan 'cerita benar' kan. Walaupun drag masa panjang, tapi daripada penghayatan aku, cara tu berkesan untuk tunjukkan realiti yang perubahan sikap mangsa rasuk akibat rasukan tu berlaku secara beransur-ansur. Ada waktu rasukan tu mengganas, ada waktu dia diam. Bukan macam filem fiksyen yang memang skrip dah ditetapkan bila babak-babak seram tu akan jadi.
Kalau baca review lain, ada yang kata tak best sebab takde CGI (padahal cerita pasal hidup natural di kampung pedalaman??), muka Mink kena rasuk tak seram (jenis kena hantu muka jijik baru rasa seram agaknya??), kamera bergegar (nama pun dokumentari??), etc. Ada juga yang kutuk sebab endingnya roh yang rasuk Mink tu bunuh semua orang, termasuk kumpulan bomoh dan jurukamera dokumentari tu.
Bagi aku masuk akal je kalau Mink tak berjaya diselamatkan. Apa yang aku faham, moyang ayah Mink pernah bunuh ramai orang dan akibatnya, keluarga mereka disumpah melalui patung tu untuk balas dendam. Pada waktu jasad Mink dipilih untuk jadi perantara baru Ba Yan, roh yang tak tenang tu dah masuk dulu dalam badan dia dan bilangannya terlalu ramai. Bomoh pula ada sorang je lepas Nim mati mengejut. Sebab tu kuasa dia tak cukup untuk exorcise sekali harung.
Cuma ni teori aku je la. Sebab sesetengah babak filem ni ada guna konsep "Apa yang watak tu cakap, dia tak tunjuk. Apa yang watak tu tunjuk, dia tak cakap." Sengaja pengarah filem tu buat ambiguous begitu untuk lebih misteri haha. Maka kita kena kaitkan sendiri lerr. Siapa faham, faham la. Siapa yang suka cerita horror jenis terkejut dan ending kena ada kesimpulan solid, mungkin dia tak suka filem ni.
Tapi sebagai orang Asia Tenggara, aku hargai filem ni sebab tema berkaitan kepercayaan masyarakat di wilayah Thailand tu buat aku relate dengan masyarakat kita juga. Apa yang jadi dalam filem tu kita tahu la sebenarnya possible, sebab masyarakat kita pun ada amalan bomoh dan alam ghaib tersendiri kan. Berbanding dengan sesetengah orang negara luar atau yang mentaliti moden dan jarang didedahkan dengan benda sebegini, mungkin bagi mereka cerita ni tak logik. Hakikatnya, yang tahu je tahu.
Secara keseluruhannya, aku suka filem ni. Cuma ada beberapa trigger warning yang perlu dicekalkan hati untuk tengok sebab ada elemen nudity, incest, animal cruelty, self-harm, dan beberapa lagi. Kalau yang ada trauma tertentu atau mudah rasa terganggu dengan elemen begitu, elakkan daripada menonton ya. Tapi kalau rasa jiwa raga okey je dengan warning yang ada, boleh la tengok di Netflix kot?
Paling penting, kalau nak tengok filem ni, elok tengok sorang-sorang. Elakkan tengok dengan orang yang suka bertanya masa menonton. Sebab filem ni macam aku kata ada unexplained parts yang kita kena fahami dan teliti sendiri. Babak terkejut tu pun datang tanpa diduga dan diketahui sebab juga. Mana la tahu anda serabut kalau orang tanya banyak benda masa tengok tu kan.
#Nota: MVP dalam filem ni adalah kumpulan pengkaji untuk dokumentari ni ya. Dah berapa kali tengok Mink serang orang dan perangai pelik semacam pun rilek je stay lagi di rumah tu rakam diorang. Kalau aku la, sekali tengok dia tunjuk perangai pelik tu, mau bungkus barang balik rumah sendiri huhu
Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.
macamne best pun filem ni, dapat anugerah seantero dunia pun memang akak takkan tengok heheheh... takat hantu kak limah bolehla akak layan lagi, filem antu siam dahla menakutkan
ReplyDeleteTengok sorang-sorang takut lah pulak. Hehe. Tapi memang viral cerita ni
ReplyDeletejarang-jarang pulak saya tengok movie sejak akhir ini
ReplyDelete