Assalamualaikum
Lama tak sembang pasal buah pinggang. Padahal ada je beberapa isu yang jadi sebelum ni tapi tak sempat nak update sebab tahun lepas kan banyak kisah keluar masuk hospital. Pastu dengan aku duk busy internship lagi. Tak kesampaian hajat nak menulis. Jadi kali ni kita pot pet la sikit.
Sebelum ni kita dah belajar pasal 2 cara pesakit buah pinggang boleh jalani hemodialisis (cuci darah):
🔸 Hemodialisis melalui IJC (Internal Jugular Catheter) yang dipasang di leher
🔸 Hemodialisis melalui fistula lengan
Tapi sebenarnya ada lagi alternatif lain untuk jalani hemodialisis ni kalau kedua-dua cara di atas tak berkesan. Namanya Central Venous Catheter (atau juga CV Line). Nama glamor lain, PERMACATH.
🔸 Hemodialisis melalui fistula lengan
Tapi sebenarnya ada lagi alternatif lain untuk jalani hemodialisis ni kalau kedua-dua cara di atas tak berkesan. Namanya Central Venous Catheter (atau juga CV Line). Nama glamor lain, PERMACATH.
APA ITU PERMACATH?
Contoh CV Line yang dipasang di dada. Kredit gambar: Life Options |
Permacath adalah sejenis catheter yang dipasang di bahagian dada pesakit. Rupa bentuk dia lebih kurang sama dengan IJC yang dipasang di leher pesakit dialisis sebab dipasang pada urat darah besar dan memiliki 2 gantungan wayar yang diguna untuk keluarkan/masukkan cecair.
Contoh IJC yang dipasang di leher. Kredit gambar: Azura Vascular Care |
Haa dekat-dekat serupa kan? Lokasi tempat pasang je yang berlainan. Satu di dada, satu di leher.
KENAPA KENA GUNA PERMACATH?
Permacath adalah option terakhir bagi pesakit buah pinggang kalau mereka tak ada saluran fistula yang boleh digunakan untuk keluarkan dan masukkan semula darah sewaktu proses hemodialisis.
Mama kini tengah guna Permacath la sejak tahun lepas sebab laluan fistula di lengan kiri dia tersumbat. Sebabnya, mama selalu ada masalah tekanan darah rendah. Waktu dialisis, darah tak boleh keluar masuk dengan lancar melalui fistula ke dalam mesin dialyzer. Lama-kelamaan, fistula tu tersumbat.
Walaupun dah buat operation fistuloplasty untuk masukkan belon dalam laluan fistula di HUSM untuk besarkan laluan urat, tak menjadi. Fistula kiri tu tetap tak boleh guna. Terbang RM2,000++.
Tapi tak putus asa lagi. Mama buat operation fistula baru di sebelah kanan (di KBMC). Terbang lagi ~RM3k. Tapi sebab masalah tekanan darah rendah tu selalu terjadi, isu yang sama berulang lagi. Fistula belah kanan tu pun jadi tersumbat jugak sebab darah tak keluar lancar.
Banyak kali ulang-alik ke HUSM jumpa pakar dan unit Radiologi untuk scan keadaan fistula tu. Nak tengok kot-kot ada harapan boleh diselamatkan. Tapi doktor sana duk ulang "Thrombosis, thrombosis' yang bermaksud darah beku. Memang tersumbat betul gayanya laluan fistula tu.
Masa pergi HUSM tu, beberapa kali doktor set tarikh untuk buat fistuloplasty lain untuk masukkan belon lagi dalam fistula tu. Doktor kata sayang dah bayar mahal untuk 2 fistula tapi tak boleh guna.
Tapi mama tak nak.
Sebabnya operation tu sakit sangat sebenarnya. Doktor masukkan belon dalam urat tu dalam keadaan pesakit sedar tau. Takde bius penuh (general anaesthesia). Dia bius lengan tempat cucuk belon tu je (local anaestheia). Tu pun mama kata tetap boleh rasa jarum tu masuk lengan dia.
Doktor pakar dah sehabis pujuk tapi mama kata kalau takde bius penuh, dia taknak buat fistuloplasty tu. Tapi tu la agak susah nak minta bius penuh actually sebab pakar bius di Kelantan ni tak ramai dan selalu busy. Fistuloplasty pula non-surgical procedure so takde priority untuk bius penuh la.
Sekali je haritu doktor kata dia akan cuba susun tarikh operation yang ada pakar bius untuk tidurkan masa operate tu. Memang dia letak nama mama di tarikh paling cantik. Sekali sebelum tarikh tu, mama repeat masuk wad sebab usus berdarah pula. Terlepas temujanjinya. Takde rezeki 🙃
So lepas dua-dua fistula tak boleh guna, mama kembali pakai IJC di leher semula. Tak tahu la dah kali keberapa pakai benda tu. Dalam 3-4 kali aku rasa. Memang seksa la benda tu sebab duduk di leher kan.
Dah IJC tu dekat dengan kepala. Susah nak mandi, susah nak wuduk sebab benda ni berisiko kena jangkitan kuman kalau lembap terkena air. Nak pakai pelekat kalis air untuk IJC tu pun leceh juga. Kita orang Malaysia mandi banyak kali dalam sehari kan. Wuduk solat 5 waktu lagi.
Susah nak tidur pun iya jugak bila pakai IJC ni. Takut tercabut masa duk berguling-guling dalam tidur.
Pastu kulit leher pun nipis. Apabila duk repeat cabut dan tampal semula dressing di leher setiap kali lepas sesi dialisis, memang kawasan leher mama jadi sensitif sebab gam penempek dressing tu. Mama nak sapu ubat di bahagian luka pun susah sebab kita mana boleh nampak leher kita kan.
Maka doktor tukar IJC tu dan pakaikan permacath di dada mama bahagian kiri, bawah collarbone (tulang selangka). Lebih selamat sebab senang mama nak pantau dengan mata sendiri. Waktu mandi, mama boleh balut sendiri wayar catheter tu dengan plastik untuk elak kena air. Nak sapu ubat pun mudah.
Rezeki haritu, pakar buah pinggang di HUSM ada tawarkan nak sponsor mama buat fistula baru sebab dia tengok mama komited jaga kesihatan elok-elok sampai tak ada komplikasi lagi teruk di buah pinggang. Kira macam ganjaran untuk mama la sebagai pesakit yang berdisiplin.
Sebelum set tarikh operation, kami kena pergi dulu ke HRPZ untuk scan lagi sekali di Klinik Plastik untuk tengok keadaan terkini urat tangan mama dan cari laluan yang berpotensi untuk buat fistula baru tu.
Mama dah excited masa pergi ni sebab ye la doktor pakar sendiri tawarkan nak buatkan fistula percuma kan. Suatu rezeki sangat sebab dah belanjakan duit sendiri lebih RM10k sebelum ni untuk 2 fistula dan 1 fistuloplasty. Memang membantu la keluarga B40 macam kami ni.
Sayangnya, hasrat tak kesampaian. Sekali lagi rezeki ni bukan milik kami.
Aku sendiri tengok doktor HRPZ tu scan dua-dua lengan mama cari laluan urat yang berpotensi dijadikan fistula. TAPI TAKDE!
Doktor tu scan dari pergelangan tangan sampai ke bahu cari urat yang besar selain daripada urat fistula yang tersumbat tu. But for some reason, urat mama tenggelam timbul putus-putus gitu.
Elok belah atas lengan ada urat besar, bila turun bawah sikit urat tu hilang, pastu bersambung bawah lagi ada yang saiz kecikkk je. Lengan kanan dan kiri sama keadaan urat macam tu. Memang doktor kata tak sesuai la nak buat fistula sebab urat kecik. Tak boleh nak dicantum jadi lagi besar.
Doktor kata memang kena teruskan guna permacath di bahagian dada tu sebab tu je laluan yang ada untuk mama buat hemodialisis sekarang. Dan beliau suruh refer balik dengan pakar HUSM untuk alternatif seterusnya kalau ada operation lain nak buat di dada ganti permacath ni.
Aku tak tahu la ada atau tidak alternatif lain tu tapi kalau ada, nanti aku update balik di sini.
Begitulah kisahnya pasal permacath dada ni.
Respect to my mama sebab dari cucuk wayar di paha, wayar di leher, di lengan, pastu latest ni di dada pula untuk cuci darah. Nasib hidup pesakit buah pinggang kan. Macam ni la nak hidup.
Oleh itu, sayangilah buah pinggang anda. Jauhi produk kesihatan mengarut dan kalau ada penyakit, jumpalah doktor dan makanlah ubat ikut jadual. Jangan sampai organ penting yang lain pun rosak.
Harapnya entri ni membantu untuk pesakit buah pinggang dan ahli keluarga mereka buat pilihan dan keputusan yang sesuai pasal cara rawatan yang sesuai. Semoga Allah permudahkan urusan anda 💓
Bye dan Assalamualaikum.
Salam sis nk tnya lm ke proses nk buat tapak di dada tu..tq
ReplyDeleteWassalam. Rasanya tak lama pun. Macam proses tebuk tapak IJC di leher jugak. Minor procedure je berbanding mcm fistula masuk bilik bedah
DeleteOwh ok tq sis..sy mncari info utk my mom..br nk kna dialysis..doc ckp terus kna buat kt dada..
ReplyDeleteElok refer doktor terus utk tahu prosedur penuh sbb mungkin tak sama mcm mak sy. Make sure lepas tebuk dada tu kena jaga betul² jangan bagi kena air utk elakkan jangkitan kuman. Semoga mak awak sihat selalu ya ❤️
Delete