Assalamualaikum
Haritu dah cerita pasal program Diploma in Business Studies di KPM Ayer Molek. Kali ni pasal peringkat seterusnya iaitu ijazah International Business Management (IB) di UUM yang aku ambil lepas grad dari KPM. Saja nak bagi lengkap maklumat di sini pasal cara maju dari diploma KPM kepada ijazah UA.
Aku sekarang agak jarang buka media sosial. Yang tanya soalan di Twitter tu kalau aku terbaca, aku jawab la. Tapi kalau tanya di IG yang dah berhabuk tu, memang terabai la soalan korang. Lagi-lagi kalau jenis DM cakap"Nak tanya boleh?" tapi tak tulis terus apa soalannya. Tau-tau masuk hidden request 💀
Jadi sekarang kalau orang tanya pasal KPM atau UUM, memang aku bagi link blog terus. Biar dia baca dulu semua cerita yang aku dah tulis. Kalau memang ada topik yang dia nak tahu tapi aku tak pernah tulis lagi, baru boleh tanya. Kalau tak buat macam tu, penat dol nak jawab soalan sama banyak kali haha
Program:
SARJANA MUDA PENGURUSAN PERNIAGAAN ANTARABANGSA DENGAN KEPUJIAN (BACHELOR OF INTERNATIONAL BUSINESS MANAGEMENT WITH HONOURS (BIBM))
Tempoh: 08 Semester (4 Tahun)
Fakulti: Pusat Pengajian Antarabangsa (School of International Studies (SOIS) )
Syarat Kelayakan: Rujuk di laman web UUM
*Dari sini, nama program ni akan dipendekkan kepada BIBM dan dirujuk sedemikian di sepanjang cerita.
Aku mohon program BIBM di UUM ni melalui sistem UPU untuk lepasan STPM dan setaraf, dalam kategori Diploma IPTS. Program ni memang diletakkan sebagai pilihan pertama aku selain beberapa IPT lain yang ada program sama seperti UiTM dan UniMAP. Dan Alhamdulillah rezeki memang dapat UUM.
Generally, bagi pelajar yang masuk melalui Asasi, Matrik, atau STPM, tempoh belajar mereka memang 8 semester. Tapi untuk pelajar diploma, boleh jimat sem melalui credit transfer. Aku pun hasil pindahkan kredit diploma KPM, berjaya singkatkan 2 semester dan habis belajar dalam 6 semester sahaja.
Generally, bagi pelajar yang masuk melalui Asasi, Matrik, atau STPM, tempoh belajar mereka memang 8 semester. Tapi untuk pelajar diploma, boleh jimat sem melalui credit transfer. Aku pun hasil pindahkan kredit diploma KPM, berjaya singkatkan 2 semester dan habis belajar dalam 6 semester sahaja.
Tapi walaupun jimat semester, masa sem 1, aku tetap dikira sem 1 jugak. Di UUM ni, pelajar tak langkau semester lepas transfer kredit. Berbeza dengan sesetengah IPT, contohnya UiTM yang kalau pelajar dapat pengecualian kredit 1 sem, mereka terus dikira pelajar sem 2 (atau ikut bahasa UiTM, part 2).
Program BIBM ni berbeza dengan program bisnes biasa sebab nama pun "International" kan. Konteks dalam tu banyak fokus pasal isu antarabangsa dan cara bisnes negara luar, berbanding program bisnes biasa yang belajar pasal dunia bisnes in general way.
Aku suka sebab rasa lebih terbuka minda masa buat assignment. Sebab kan kena fikir dari banyak sudut untuk pastikan jawapan menepati kehendak soalan dan berpotensi selesaikan isu sebenar.
Ada TUJUH (7) komponen mengandungi 45 subjek dalam program BIBM UUM yang perlu dilengkapkan sebelum layak dapat ijazah. Tapi bagi pelajar yang memenuhi syarat-syarat tertentu, mereka layak untuk dikecualikan dari sesuatu komponen dan cuma kena lengkapkan 5-6 komponen sahaja.
Kalau ada yang curious sama ada BIBM ni banyak teori atau mengira, rasanya bergantung kepada minor tumpuan masing-masing. Dalam subjek teras, subjek fokus mengira cuma Statistics dan Business Accounting. Tapi kalau ambil minor Akaun (atau seangkatan dengannya), jadi la course dia lebih banyak mengira. Orang yang ambil theory-based minor pula kena lebih banyak membaca.
KOMPONEN ASAS UNTUK SEMUA PELAJAR BIBM
Klik gambar untuk besarkan. |
Ini senarai subjek dalam setiap komponen yang perlu diambil. Selain University Core dan Programme Core yang perlu ambil semua subjek, komponen-komponen lain tu kita boleh pilih sendiri nak ambil apa. Tapi ikut nasib la sama ada subjek tu ditawarkan atau tidak. Kalau ada pun, mungkin kelas tak banyak.
Jadual kelas di UUM ditentukan sendiri oleh pelajar melalui sistem add drop sama ada nak ambil subjek apa, pukul berapa, hari apa, etc. Fakulti cuma tolong sikit kalau kelas habis dan kena add secara manual.
Tapi sekarang dengarnya UUM ada campur tangan sikit dengan add beberapa kelas core dalam jadual pelajar secara automatik. Kurang la sikit beban pelajar nak rebut subjek masa add drop tu. Cuma kena plan elok-elok sebab kalau pelajar drop subjek yang UUM pre-add tu, nanti dah tak boleh add balik.
Kotak-kotak kelabu tu adalah tanda recommended semester, maksudnya bila sem yang sesuai untuk kita ambil subjek tu. Yang dia tanda di sem 1-2, biasanya subjek tu relatively senang sebab basic. Masuk sem 3 ke atas, subjek dah lebih advanced dan biasanya ada prerequisite, maksudnya kena lulus subjek tertentu masa sem 1-2 dulu baru boleh ambil subjek sem atas-atas tu.
Tapi untuk ex-diploma macam aku, masa sem 1-2 kami dah lebih bebas nak ambil subjek sem atas-atas. Soalnya subjek prerequisite tu biasanya dah complete lepas transfer kredit diploma (yang mana ditanda KP tu). Sebab tu masa sem 2 aku boleh santai ambil subjek sem 6, International Business Policy (IBP). Pastu dapat B+ je because Gosh I hate that subject hahahahahah sorry Prof Hanif.
Ni bukan salah lecturer tau. Subjek IBP tu je tak best bagi aku. Prof Hanif yang ajar subjek tu mantap je. Buktinya, subjek Elektif yang Prof Hanif jugak ajar iaitu International Mergers tu aku dapat A+ kot 😂
PENGECUALIAN TERAS BAHASA INGGERIS (ENGLISH LANGUAGE CORE) UNTUK MUET BAND 5-6
Klik gambar untuk besarkan. |
Semua pelajar wajib ambil 3 kelas Bahasa Inggeris (BI) dalam program masing-masing. Tapi level kelas BI tu bergantung kepada Band yang mereka dapat dalam MUET sebelum masuk UUM dulu.
English Proficiency 1-3 tu rasanya general classes untuk kuatkan penguasaan BI kot. Sis tak tahu sangat sebab MUET aku Band 5 so kena ambik 3 subjek ESP iaitu kelas lebih advanced. Sendu kejap masa tu sebab ingatkan ada privilege kalau MUET tinggi. Rupa-rupanya makin pening kepala haha
Mujur kelas dan lecturer ESP tu semua best-best dan aku pun dapat ilmu baru dari situ.
Tapi peraturan baru di UUM bermula tahun 2021, pelajar yang dapat Band 5-6 dalam MUET dikecualikan daripada ambil apa-apa kelas BI. Cumanya pengecualian ni applicable untuk kelas BI in general sahaja. Kalau subjek BI tu ada dalam programme core, pelajar tetap wajib ambil subjek tu.
Contoh macam program Business Admin, core dia ada Public Speaking Skills kot so kena ambil la subjek tu. Tapi kalau core BIBM, takde subjek BI pun jadi untung la bakal junior aku yang dapat Band 5-6 dalam MUET. Nanti mereka lagi cepat habis sebab jimat 9 jam kredit, atau 3 kelas, atau setengah semester 🎉
PENGECUALIAN ELEKTIF BEBAS (FREE ELECTIVE) BAGI PELAJAR DIPLOMA YANG TRANSFER KREDIT
Klik gambar untuk besarkan. |
Free elective ni bagi peluang untuk pelajar masuk mana-mana satu kelas yang ditawarkan oleh fakulti lain. Kot la kalau ada pelajar Law berminat nak tahu pasal seni fotografi, boleh add subjek Photography dari program Creative Media. Pelajar Hospitality nak belajar basic akaun, ambil la subjek dari TISSA.
Tapi untuk pelajar ex-diploma, ada shortcut kalau malas nak ambil kelas lain untuk free elective ni.
Caranya, kalau ada lebihan subjek yang tak berkait dengan program sendiri lepas transfer kredit, boleh guna subjek tu je. Tapi kena tengok kod subjek tu dulu di bahagian Additional Courses tu.
Kalau kod subjek tu memang dari fakulti lain, hantar borang kepada HEA minta pindahkan subjek tu ke dalam free elective. Macam aku, fakulti aku School of International Studies (SOIS), free elective letak Introduction to Statistics Economics bawah School of Quantitative Sciences (SQS). Jimat satu kelas.
PEMILIHAN SUBJEK UNTUK KOMPONEN PROGRAMME ELECTIVE
Klik gambar untuk besarkan. |
Dalam banyak-banyak komponen, Programme Elective ni favourite aku sebab ada banyak subjek dalam beberapa bidang. Antaranya Marketing, Human Resource, Finance, Management, dan Supply Chain or Logistics. Sayangnya boleh pilih 5 subjek je kat sini. Kalau boleh nak belajar banyak sikit haha
Asalnya aku nak ambil satu subjek dari setiap bidang tu. Tapi elektif ni kadang-kadang ada subjek tu walaupun sepatutnya boleh pilih, dalam senarai kelas pulak tak ada nama dia. Macam haritu aku nak ambil Brand Marketing dan Negotiations tapi tak boleh add sebab tak ada dalam senarai. Sedih ai 😩
Tapi kat sini bergantung pada individu nak ambil subjek diverse dari semua bidang atau nak fokus satu bidang sahaja. Kalau rasa lepas grad pasni nak kerja bidang HR, ambil la lebih banyak subjek elektif pasal skop HR kan. Aku ni je jenis curious nak tahu pasal setiap bidang sebab tu ambik serba satu haha
PEMILIHAN MINOR UNTUK PROGRAM BIBM
Klik gambar untuk besarkan |
Kalau tak nak pening kepala dan nak yang selari dengan bidang bisnes, boleh ambil Keusahawanan (Entrepreneurship). Tapi aku macam malas nak mengadap teori bisnes lagi jadi aku ambil minor Logistik dari fakulti STML. Sebab sekarang kan banyak permintaan pekerja dalam industri logistik tu.
Masalahnya fakulti Logistik tu KEDEKUT KELAS hahahahah. Nak add satu subjek Logistik dalam jadual pun boleh jadi satu benda yang buat anxiety mencanak ke langit ketujuh. Sebab kelas tak banyak, selalu penuh, dan memang kena tunggu fakulti tu buka permohonan add subjek secara manual.
Dan add manual tu pun belum tentu dapat kelas yang kita nak. Ada dia bagi random je subjek dalam minor tu asal cukup jam kredit. Ada yang dia campak je kita dalam mana-mana slot waktu. Kalau plan nak jadual cantik tersusun waktu pagi sahaja tu, dalam mimpi je la. Tahu-tahu dapat kelas 4 petang 😂
Stres jemah. Aku rasa aku mungkin akan rant pasal minor Logistik di UUM ni dalam entri asing hahaha
KEPERLUAN BAHASA ASING UNTUK PROGRAM BIBM
Program BIBM ada 8 pilihan bahasa asing untuk diambil:
Sepanyol, Jerman, Jepun, Arab, Mandarin, Perancis, Thai, atau Korea.
Di KPM dulu aku dah belajar Mandarin kan. So aku ingat di UUM ni nak ambil la Korea atau Jepun pula.
Tapi setiap sem tu kelas bahasa lain ni buka sikit je nyah. Ada yang buka 2 kelas je. Tu pun selalu penuh sebab senior dah cop dulu masa add drop. Kelas Mandarin je banyak gila sampai tak cukup 26 abjad untuk buat nama kelas. Dari kelas A-Z, kena tambah lagi kelas AA, OP, etc... dah macam plat kereta 😂
Aku pun redha la ambik balik Bahasa Mandarin. Tapi masa ni rasa macam ada faedah juga sebab pelajar BIBM yang ambil Bahasa Mandarin dan minor Logistik ni layak mohon buat double degree dalam bidang Logistik sekali. Syaratnya, bahasa asing tu memang wajib ambil Bahasa Mandarin.
Mula-mula aku berminat juga dengan double degree tu sebab cuma kena sambung 1 semester je lepas habis program asal. So in general, belajar 9 semester, dapat 2 ijazah. Alang-alang aku jimat 2 semester lepas transfer kredit, masih jimat masa sebab tetap akan habis dalam 4 tahun juga. Kira best la kan.
Tapi fikirkan nak add subjek minor Logistik pun dah stress, double degree ni pulak emm maleh aku 😂
Beban kerja dalam BIBM ni, bergantung kepada aliran minor dan susunan jadual masing-masing, boleh jadi senang nak skor dan dapat dekan setiap sem. Kalau berjaya kekalkan tahap cemerlang dan aktif dalam kokurikulum, ada la peluang untuk ditawarkan menyertai persatuan BGS UUM.
BGS UUM ni adalah persatuan prestij tinggi yang diiktiraf di tahap antarabangsa oleh AACSB International. AACSB tu cuma iktiraf 5% universiti saja dalam dunia. Jadi sebab UUM ni termasuk dalam senarai layak sertai BGS tu, maksudnya program BIBM di UUM ni antara yang terbaik dunia la. Dan kalau dapat masuk BGS tu, dikira sebagai pengiktirafan paling tinggi untuk pelajar Business 💯
Nak masuk pun tak mudah. Hanya pelajar Business tertentu yang cemerlang CGPA kelas pertama, Top 10% dalam program mereka, dan aktif kokurikulum saja akan diberi tawaran. Tu pun kena masuk interview dulu. Kalau lulus, best la boleh sertai program taraf antarabangsa. Dan keahlian dikira seumur hidup jadi brotherhood dengan ahli lain tu kekal la. Memang eksklusif sangat.
Sebab ahli dari pelbagai negara, boleh la bina network dengan orang dari pelbagai industri dalam persatuan tu. Untuk yang target nak jadi profesional di tahap lebih tinggi, network ni penting la untuk tolong kita maju dan mudah cari peluang. Dalam bahasa kita, kabel cekang haha
I got this offer twice. Tapi dua-dua kali aku tak daftar pun huhu. Memula sebab tak tahu sangat apa benda tu, since tawaran tu dapat waktu aku baru sambung sem lepas tangguh. Sis tengah pening lalat nak masuk belajar balik. Kali kedua, dapat waktu kelas online pulak. Masa ni aku dah pening nyamuk pulak sebab stress dengan COVID dan beban kerja online masa tu.
Sedih sikit la sebab terlepas peluang besar gitu. So korang kalau masuk BIBM dan dapat tawaran untuk jadi ahli BGS UUM ni, cuba la mohon. InsyaAllah dapat lebih banyak pengalaman hidup. Cuma mungkin kena sedia duit banyak sikit sebab kalau tak salah, kena bayar sendiri for the big programs?
Anyway, on the bright side, walaupun sistem add drop UUM selalu buat kami sakit jiwa, aku suka sistem jadual dia sebab UUM tak ada kelas malam, you~ jadual kelas di sini pun ikut waktu pejabat bekerja. Mula jam 8.30 pagi, habis pukul 5.30 petang. Dan paling best, HARI SELASA CUTI~~~
Contoh jadual aku masa semester 2. Waktu ni kelas paling lambat habis 4 petang. Pastu aku drop subjek Marketing tu so habis pukul 2.30. |
Bukan cuti betul pun. Staf dan lecturer masih kena kerja. Pelajar je yang majoritinya memang tak ada kelas Selasa. Sistem jadual di UUM ni ikut hari Ahad/Rabu (AR) dan Isnin/Khamis (IK) sahaja. Hari Selasa tu kosong dan biasanya pelajar guna untuk buat program, buat assignment, atau melepak.
Mantop juga kan ada cuti di tengah minggu macam tu sebab tak tepu sangat nak belajar setiap hari sepanjang minggu. Boleh juga kumpul merit (dan makanan free) banyak-banyak sebab memang banyak program akan dianjurkan oleh persatuan pelajar hari Selasa tu. Kelas habis waktu petang tu pun best sebab tak stres nak kena bersiap pergi kelas malam-malam.
Tapi aku rasa UUM tak buat kelas malam sebab kampus ni dalam hutan rimba yang pure hutan. Buatnya terserempak cik ponti waktu jalan kaki balik kelas ke, jumpa lembaga di hujung koridor kelas ke, nampak bas takde driver lalu masa tunggu di bus stop ke, tak ke histeria budak-budak 😂
Tempoh kelas, setiap subjek belajar 1.5 jam sehari, 2 kali seminggu. Tapi maksima masa belajar cuma 1 jam 20 minit sebab lecturer kena bagi at least 10 minit untuk pelajar naik bas ke kelas seterusnya.
Kalau lecturer tu peka, biasanya kelas habis lagi awal dan pelajar pun dapat naik bas awal. Tapi kalau dapat lecturer yang bercakap tak tengok jam, fuhh~ Satu hal nak kena remind kat dia yang kelas dah habis dan kita ada kelas lain lepas ni. Berkicap la kau nak lari dan berebut naik bas supaya sempat sampai on time. Nak-nak kalau kelas seterusnya tu jauh dan lokasi sekarang tu jem.
Top spot untuk bus stop yang padat: DKG 6.
Kat sini walaupun ada 10 bas sampai, 10 kali tu jugak belum tentu kau dapat naik bas. Aku kalau ada kelas di DKG 6, rela tunggu sampai majoriti pelajar yang jem tu dah pergi dulu baru sis naik bas. Tak pun main naik je bas dari laluan lain asalkan selamat sampai di bus stop kelas seterusnya.
Mujur juga kelas aku di DKG 6 ni biasanya ada free time lepas tu, tak pun kelas terakhir. Jadi tak kejar masa sangat la untuk naik bas dan boleh bagi laluan kepada yang memerlukan dulu haha
Bus stop yang paling jauh: FAKULTI SOIS
Rezeki kita pelajar BIBM, kelas utama terletak di SOIS iaitu fakulti paling baru. Tapi cabarannya pulak, lokasi SOIS ni di luar kampus utama UUM. Bas yang gerak dari kampus ke SOIS tu pulak tak banyak.
Kalau nasib tu baik, waktu habis kelas tu dah ada bas tunggu di bus stop. Haa boleh la gerak awal. Tapi kalau nasib tak baik, tercongok 10 minit di bus stop tu pun belum tentu ada bas sampai sebab most likely pakcik bas tengah tunggu bas tu penuh di kampus utama dulu baru dia gerak ke SOIS. Pishang.
Insan yang paling untung adalah pelajar yang ada kenderaan sendiri (motor atau kereta). Sebabnya lebih mudah nak bergerak ke sana sini. Tak ada la kena tunggu lama dan bersesak-sesak dengan orang lain.
Gambaran sebenar bas yang padat dengan pelajar pada waktu puncak untuk bergerak ke kelas seterusnya, and sometimes it can get worse than this hehe |
Dulu masa di kampus UUM, tak suka kalau kena berdiri macam ni sebab penat, lenguh, nyampah kat pakcik bas sebab slow, risau sampai lambat dan tak dibenarkan masuk kelas. Macam-macam hal la kan.
Tapi sejak era Covid dan kena belajar secara online ni, sumpah rindu balik kat suasana bersesak atas bas tu. Sebab waktu rushing ke sana sini dalam kalangan orang ramai tu baru terasa nikmat pengalaman hidup jadi pelajar. Duduk atas kerusi tenung kelas dalam laptop atau phone mana sama feel dia kan 😌
Apa boleh buat, keadaan tak mengizinkan. Yang paling penting sebenarnya kita ni masih hidup, nyawa masih dipelihara, dan dilindungi dari penyakit tersebut sampai ke hari ni. Alhamdulillah.
Aku pun dah habis belajar so tak boleh komplen lebih la kan. Benda dah berlalu.
Tapi sis tumpang gembira untuk pelajar UUM bagi sesi akan datang sebab UUM akan kembali adakan kelas secara fizikal bermula semester depan. Boleh la mereka jumpa lecturer dan kawan-kawan dalam kelas. Semoga semua boleh belajar dengan gembira dan dapat kumpul kenangan terindah di sana.
Harap-harap Covid ni pun beransur hilang dalam waktu terdekat because I'm so sick of it hahahah
Setakat ni dulu untuk maklumat asas pasal jurusan International Business Management di UUM ni. Ada lagi sebenarnya aspek yang aku belum sentuh, contohnya kursus Kokurikulum yang aku ambil di UUM. Tapi yang tu nanti aku cerita dalam entri lain. Jumpa dalam entri seterusnya.
Bye dan Assalamualaikum.
Semoga memberi manfaat pada mereka yang nak sambung belajar!
ReplyDelete