Seni Kertas: Peralatan asas yang diperlukan untuk quilling art | NaSa
Assalamualaikum



Dalam setiap perkara yang kita nak lakukan, selain ilmu pengetahuan, perlulah ada alat yang betul untuk bantu memudahkan perjalannya. Macam tukang kayu dengan gergajinya, nelayan dengan pukatnya, scammer dengan ayat manisnya... Quilling art ni pun sama la. Kena ada alatnya juga.

Dalam entri haritu, kita dah tahu secara asas tentang apa itu quilling art dan kelebihan-kelebihannya, dan ada juga aku selitkan tentang peralatan asas yang diperlukan. Dalam entri kali ni, aku nak kongsi dengan lebih mendalam lagi tentang setiap alat tersebut dan fungsi setiap satunya.


1) Kertas warna dan putih


Kertas A4 dalam warna asas yang banyak dijual di kedai

Nama pun seni kertas, jadi benda paling utama yang diperlukan untuk quilling art mestilah kertas. Lebih spesifik, jaluran kertas (paper strips).

Kertas yang berat 80-120 GSM paling sesuai digunakan sebab ketebalan yang just nice. Ia tak terlalu lembik macam kertas bawah 70 GSM yang mudah penyek, dan ia lebih mudah digulung berbanding kertas yang melebihi 120 GSM. Sebabnya lagi tebal kertas, lagi mudah patah apabila digulung.

Ukuran lebar bagi jaluran kertas yang popular dan sesuai untuk pemula adalah 5mm kerana tidak terlalu lebar atau kecil serta mudah untuk digulung. Lepas jari dah biasa dengan teknik menggulung dan tekanan yang diperlukan untuk buat bentuk asas, boleh guna kertas yang berlainan ukuran pula.

Bagi mereka yang dah pakar (expert), ada yang guna kertas selebar 1mm tau! Tapi nak gulung kertas sekecil tu memang azab la. Sangat mencabar kesabaran haha

Jaluran kertas ni nak beli yang dah siap potong boleh, nak potong sendiri dari kertas A4 pun boleh. Ikut kerajinan dan kekayaan anda. Kalau malas, beli je.

Kalau aku, lebih suka potong sendiri sebab jimat dan fleksibel. Satu pek kertas warna A4 berat 80 GSM yang ada 50 helai kertas biasanya berharga RM4-RM5. Ada pek yang satu warna sahaja, ada juga pek pelbagai warna. Sehelai kertas tu boleh potong ikut macam-macam lebar yang kita nak.

Kertas yang dah siap potong pula, satu pek dalam 100-200+ jalur kertas. Harganya sekitar RM2-RM5 kalau beli kualiti biasa-biasa yang Made in China, dan lebih mahal kalau beli kertas berkualiti yang diimport dari USA dan Eropah. Kalau nak lagi banyak warna dan saiz lebar, kena la beli banyak-banyak kan. Jujur sis tak mampu huhu

Entri pasal kertas aku akan buat asing sebab ada banyak benda nak bebel pasal tu.


2) Pensil, pemadam, dan pembaris



Yang ni tak perlu cakap banyak sebab 3 beradik ni benda-benda paling asas dalam aktiviti seni. Boleh guna untuk lakar dan lukis design yang kita nak, dan bagi yang potong kertas sendiri guna pisau atau gunting, boleh tandakan saiz lebar yang dikehendaki.


3) Pisau atau gunting



Dua alat pemotong ni ada dua kegunaan. Pertama, untuk potong jaluran kertas jadi lebih pendek dan potong lebihan kertas dalam projek yang dilakukan. Kedua, untuk mereka yang nak potong sendiri kertas A4 jadi jaluran kertas.

Masa mula-mula belajar tahun 2014 dulu, aku buat jaluran kertas sendiri guna gunting sebab mudah nak potong 2-3 kertas pada satu masa. Tapi sebab kertas tu banyak, bengkak ibu jari aku sebab ditekan lama oleh pemegang gunting tu. Sampai aku balut pemegang gunting tu dengan tisu haha

Pilihan lebih baik sepatutnya pisau sebab tak menekan pada jari jemari. Tapi bahaya la sikit sebab mata pisau tajam dan risiko terhiris jari. Dan masa tu aku belum ada cutting mat untuk lapik masa guna pisau sebab tu sis redho je guna gunting. Lepas jumpa cutting mat tu di kedai buku baru aku beli. Mahal wei harga cutting mat saiz A4 pun dekat RM10.


4) Slotting tool dan needle tool



Walaupun nama dan bentuknya berbeza, tapi kegunaan kedua-dua alat ni sama sahaja iaitu untuk gulung kertas. Yang menentukan alat mana yang nak diguna tu cumalah citarasa diri sendiri sahaja. Perbezaan antara dua benda ni boleh tengok gambar di bawah.


Slotting tool - besinya pendek, ada celahan (slot) panjang dan halus di tengah besinya untuk kita selit hujung kertas sebelum gulung. Sebab tu namanya slotting.

Needle tool - besinya panjang dan tajam di hujung. Sebab tu namanya needle iaitu jarum.

Bagi kebanyakan orang (termasuklah aku), slotting tool lebih senang digunakan untuk menggulung sebab kertas tak mudah bergerak lepas hujungnya diselit di celah besi tu. Besi tu pun pendek, jadi mudah nak tahan sisi kertas masa gulung. Hasilnya, gulungan akan jadi rata.

Kalau needle tool susah sikit nak pegang dan ratakan sisi gulungan kertas tu. Tapi ramai juga yang minat guna needle tool ni atas keunikannya yang tersendiri.

Kalau nak jimat, boleh buat sendiri slotting tool tu dengan pencungkil gigi (toothpick) atau lidi sate. Caranya, belah hujung lidi tu di tengah mengikut lebar kertas yang nak digulung. Hujung lagi satu tu boleh biar begitu saja untuk praktis gulung macam needle tool.

Boleh belah macam ni dalam ukuran 1 cm

5) Circle template



Selepas jaluran kertas digulung, kita kena lepaskan gulungan tu dalam suatu lubang bulat untuk biarkan kertas tu terbuka sedikit. Kemudian barulah kita tekan kertas tu jadi bentuk yang kita nak.

Kalau nak letak gulungan tu tanpa lubang pun boleh tapi berisiko untuk bentuk tu tak jadi sama besar. Karang ada yang terbesar atau terkecil. Walaupun perbezaan saiz tu cuma sekecil 1mm, boleh jejaskan pemandangan design yang kita nak tau sebab tak seragam. Di situlah pentingnya circle template ni.

Dulu-dulu agak susah nak cari circle template plastik macam ni. Puas aku jelajah kedai buku dan pasar raya tapi tak jumpa. Sampai akhirnya aku jadi kreatif sendiri dan guna penutup bekas krim Dnars Skincare yang aku tengah guna masa tu. Menjadi dan seragam la bunga aku haha

Jadi kalau nak jimat, kumpul la penutup botol pelbagai saiz di rumah anda. Reduce, reuse, recycle gitu.

Ada juga circle template yang lebih banyak saiz macam ni.

6) Tweezers



Tweezers ni penting untuk:

1) Angkat gulungan kertas yang dah terbuka dalam circle template tadi dengan berhati-hati agar gulungannya tidak bergerak

2) Letakkan gulungan kertas yang dah digam ke atas background dengan lebih ketepatan (precision)

Tweezers ada banyak jenis dan saiz untuk pelbagai kegunaan tersendiri. Berdasarkan pengalaman aku:

Muncung lurus (kiri) - Kena pegang tegak macam pegang pensil. Kurang fleksibel. Kalau nak gamkan gulungan kertas atas background, tangan kita akan hadang mata daripada nampak dengan jelas tempat yang kita nak letak tu. Tinggi risiko untuk tersasar dari tempat yang sepatutnya.

Muncung bengkok (tengah) - Pemegangnya digenggam dalam tangan. Tak hadang mata daripada nampak kertas background di bawah. Lebih fleksibel sebab bentuk muncung yang tirus ke bawah ni lebih senang nak kepit dan letak kertas dari pelbagai sudut.

Muncung lebar (kanan) - Ini lebih sesuai untuk benda-benda yang tebal. Aku banyak guna manik untuk hias bunga dan karya lain tapi 2 tweezers yang muncung tajam macam atas ni susah nak kepit manik. Jadi guna tweezer lebar macam ni lebih mudah nak kepit manik yang tebal.

7) Gam putih



Aku suka gam putih sebab ia odourless, non-toxic, dan walaupun berwarna putih, gam ni akan jadi jernih (clear) dan transparent lepas kering. Tapi kalau guna kertas background yang warna gelap, kena hati-hati jangan terlebih gam la sebab lepas kering, gam tu akan lebih jelas nampak berkilat (shiny) berbanding guna background cerah.

Kenapa gam putih? Tak boleh ke guna gam air (clear glue) yang memang dah jernih?

Ni ikut citarasa masing-masing la.

Aku personally tak suka gam air sebab selain rupa paras jernih macam air, ciri-ciri gam tu pun macam air juga. Basah, lambat kering dan kertas background mudah berkedut berbanding gam putih. Dan gam air ni lepas jangka masa lama, ada yang akan jadi warna kekuningan. Aku tak nak la ambik risiko yang boleh jejaskan rupa paras kertas.

Dan……itulah senarai peralatan asas yang diperlukan untuk quilling art ni. Sesuai kan untuk mereka yang baru nak belajar sebab senang didapati dan ada alat yang boleh DIY di rumah je. Lepas mahir selok-belok asas untuk gulung kertas, boleh la beli set peralatan quilling art yang lebih maju pula.


Set alat quilling art ni aku beli tahun 2019 masa cuti panjang semester dua di UUM. Harganya RM46+ tapi sangat berbaloi sebab ada semua 24 alat yang biasa digunakan untuk quilling art. Dan masa tu Shopee masih murah hati dengan voucher jadi dapat la aku beli dengan diskaun dan tanpa shipping fee. Akhirnya bayar RM38 je untuk set ni hehe

Semoga entri ni membantu bagi mereka yang memerlukan dan berilmiah bagi mereka yang baru pertama kali tahu pasal quilling art ni. Lepas ni kita cerita pasal kertas pula kot. Aku ada banyak topik boleh bukak kalau sembang pasal kertas ni hahaha

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.

SHARE 0 comments

Add your comment

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS