Diari Dialisis: Berakhirnya Buku Kehidupan Mama | NaSa
Assalamualaikum

Cerita kali ini panjang.

Ianya bukanlah cerita yang aku nak tulis selepas lebih setahun cuti di blog, apatah lagi cerita yang aku sangka aku akan tulis dalam masa terdekat. Tapi apakan daya... 🥲

Sedar tak sedar, dah lebih 5 tahun berlalu sejak aku terbitkan siri Diari Dialisis ni untuk kongsi pengalaman uruskan mama sebagai pesakit buah pinggang kronik (CKD) tahap 5. Alhamdulillah ramai juga yang baca, relate, dan manfaatkan macam-macam dugaan yang kami tempuhi sepanjang tempoh tu.

Tapi takdir Allah, ini bakal jadi cerita terakhir aku tentang kisah dialisis mama. Sebab arwah dah pun selamat tinggalkan kami pada malam Jumaat, 20 Disember yang lalu.


Kalau ditanya punca, ramai yang terkejut dan tak percaya. Sebab kalau baca cerita awal pasal penyakit mama, korang akan tahu arwah mainly ada kencing manis yang dah lama (20+ tahun) sebelum terjadinya kerosakan buah pinggang ni. Tapi perginya arwah disebabkan oleh:

"Spontaneous right basal ganglia bleed"

Dalam bahasa mudah, pendarahan dalam otak yang biasa terjadi akibat tekanan darah tinggi yang tak terkawal. Padahal selain 2 penyakit tu, mama tak ada pun penyakit darah tinggi yang sampai kena makan ubat hari-hari tu.

Tempat meninggal pun di Tanah Merah, jauh sangat dari rumah. Itu pun selepas dua kali berpindah ke hospital lain walaupun asalnya kami hantarkan ke HRPZ.

Kronologi kejadian:

Mama asalnya masuk ke hospital sebab demam yang menyebabkan sakit badan.

Sejak kejadian banjir Kelantan yang teruk sampai Khairul Aming turun padang haritu lagi, mama demam berlarutan. Sebab hari-hari hujan lebat, sejuk memang sampai ke tulang. Aku yang muda dan sihat ni pun gigil teruk, apatah lagi mama yang penyakit kronik.

Satu hari tu, jalan ke rumah kami dinaiki air. Kereta tak boleh masuk. Balik dari pusat dialisis, mama terpaksa jalan kaki redah air ke rumah. Akibatnya, daripada demam je, mama batuk sampai sakit bahagian belakang. Baring pun sakit, nak duduk atau berjalan lagi la tak boleh.

Kemuncak tu la kami panggil ambulans dan mama dihantar ke zon kuning HRPZ.

Lepas buat ujian darah, doktor sahkan ada jangkitan kuman. Kemungkinannya sebab berjalan dalam banjir tu la. Air banjir kotor memang risiko tinggi pada kaki pesakit kencing manis. Dan bagi mama, risiko ni berkali ganda sebab kuman merebak ke permacath yang memang sambung direct di jantung.

Sebab tu mama rasa sakit di bahagian badan sebelah kiri, terutamanya bahagian sendi. Kaki dan tangan tak boleh diangkat. Pinggang pun sakit. Nak dialisis pun susah.

Tapi sebab HRPZ penuh, mama dipindahkan ke Hospital Tumpat. Masa ni kaklong yang jaga sebab aku tengah demam. Hampir seminggu di situ, kaklong selalu la update yang mama sakit sampai tak dapat dialisis lama.

Tempoh yang sepatutnya 4 jam, nak buat 30 minit pun tak sampai. Wayar dada tersumbat, darah tak boleh dipam, mesin tertendang. Dan makin lama darah tak dapat dicuci, makin teruk mama sakit. It was a horrible cycle 💔

Masalahnya, kami dah tak ada tempat sesuai untuk tapak dialisis baru dipasang dengan selesa. Semua tempat yang boleh diguna, aku dah cerita dalam siri Diari Dialisis ni.

IJC di bahagian leher, mama dah guna di bahagian kiri dan kanan leher masa tahun pertama start rawatan dialisis.

AV Fistula, pun dah buat di lengan kiri dan kanan, tapi tertutup sebab urat sempit. Masukkan belon untuk besarkan salur darah pun, tetap gagal.

Permacath di dada ni la yang paling lama, lebih 2 tahun bertahan. Doktor pakar pun puji mama sebab pandai jaga, berbanding kebanyakan kes yang akan rosak lepas beberapa bulan. Tapi kalau tiba masa, akan rosak juga kan?

Akhirnya tempat yang tinggal, bahagian paha.

Dulu kami elak tapak dialisis di paha ni sebab penjagaannya rumit dan tak selesa, tapi sebab keadaan mendesak, kami setuju juga sebagai langkah sementara. Dan untuk itu, mama dipindahkan lagi ke Hospital Pasir Mas sebab Hospital Tumpat tak ada pakar nephro.

Pagi Khamis wayar paha dipasang, malam tu barulah mama berjaya dialisis selama hampir 2 jam. Masa ni, aku yang jaga sebab dah baik dari demam dan bagi kaklong balik rehat lepas seminggu berkampung di wad.

Siapa sangka, ni adalah dialisis terakhir mama

Lepas dialisis tu, mama okey banyak. Boleh bergerak ke tandas. Cuma sesak nafas sikit je waktu tidur. Tapi esoknya, keadaan mama meningkat. Selera makan pun bertambah. 

Biasanya mama makan nasi 3-4 suap je, cukup-cukup untuk alas perut. Tapi pagi Jumaat tu, mama makan bihun goreng habis sebungkus. Kaki dan lengan yang tak boleh angkat pun mama boleh silang macam masa sihat.

Masa aku share dalam group famili, semua lega. Sangka kami, sempat la mama bertahan sampai hari Ahad untuk ke HRPZ semula dan pasang permacath baru di dada kanan.

Tapi kita hanya mampu merancang.

Sebelum azan Zohor Jumaat, waktu aku tengah suapkan nasi dan ikan keli goreng favourite arwah, mama terbersin. Bunyi macam normal. Tapi ia sangat tiba-tiba dan aku tahu itulah waktu tekanan darah mama mendadak tinggi sehingga pembuluh darah dalam kepala pecah.

Lepas bersin tu, mama sempat pesan nanti pakaikan lampin sebab takut kalau dia bersin lagi, akan terkencing atau terberak.

Tapi lepas pesanan tu, perlahan-lahan suara mama jadi kurang jelas. Sampai mata terpejam dan leher arwah terlentok. Padahal tadi elok-elok tengah kunyah nasi sambil gelak-gelak dengar aku bercerita pasal keadaan kat rumah.

Aku pelik. Berulang kali aku goyangkan tangan dan tanya, "mama tidur ke?" Sebab sumpah mama nampak macam terlelap. Aku dah ready nak pakaikan lampin pun, mama langsung tak jawab masa aku panggil.

Aku sentuh kaki dan lengan mama, sejuk. Terus aku panggil misi, minta check gula. Risau koma sebab hypoglycemic. Tapi elok je resultnya, bawah 10, sebab memang tengah makan nasi kan. Mustahil gula dalam darah rendah.

Tapi misi ramai-ramai panggil pun, mama tetap tak menyahut. Tubuh sebelah kiri mama keras. Mama bernafas macam berdengkur, tapi bibir kanan je bergerak. Misi check tekanan darah: 185/110. Sangat tinggi dan masih tak ada respon LANGSUNG. Terus katil mama dialihkan dekat dengan meja doktor.

Misi masukkan wayar melalui hidung, mama tak bergerak. Hanya gag reflex yang berbunyi, tanda badan mama reject wayar tersebut masa masuk dalam kerongkong.

Doktor datang, buat pelbagai physical test, tetap juga anggota badan mama tak ada respon, mata tak dibuka, suara tak keluar.

Akhirnya doktor kata mama perlu buat CT scan di bahagian kepala, sebab badan mama tunjukkan tanda serangan strok. Dan CT scan tu perlu dibuat di Hospital Tanah Merah, sebab Pasir Mas tiada mesin tu dan HRPZ lagi jauh dan perlu menunggu lama.

Aku panik, tapi aku cuba untuk tak menangis. Setenang mungkin aku WhatsApp kaklong, suruh datang segera.

Rezeki kami, sebelum ambulans sampai untuk bawa mama ke Hospital Tanah Merah untuk CT scan tu, abah dan adik sampai dulu. Aku minta dengan guard untuk benarkan mereka masuk. Mujur pak guard faham situasi. Dan mama, walaupun masa tu badan tak bergerak, tapi arwah ada reaksi masa abah sampai.

Mama buat bunyi macam mengerang, seolah-olah sambut ketibaan abah. Tapi itu la kali terakhir kami dengar suara arwah. Selebihnya, waktu aku, adik, dan abah cuba panggil arwah, mama dah diam semula.

Kakak-kakak aku pun sampai betul-betul waktu katil mama ditolak masuk ke dalam ambulans. Sempat la mereka tengok mama dari belakang sebelum kemaskan barang dalam wad dan ikut ambulans kemudiannya.

Sepanjang perjalanan ke Tanah Merah, aku in denial untuk tenangkan hati sendiri. Sebab mungkin betul mama strok. Tapi abah dulu pun pernah strok juga dan sekarang abah dah sihat semula. Dah boleh berjalan lepas ikut terapi. Jadi mungkin mama pun ada peluang sama. Mama akan balik lagi dengan kami ke rumah.

Menunggu radiologist tiba untuk scan. Alhamdulillah tiada queue berbanding HRPZ

Tapi lepas CT scan tu dibuat, drebar ambulans panggil aku dan bagitau, mama memang dah tak sedar. Heartbeat mama jatuh sampai 43 (normal sepatutnya 60-100 per minit). Lagi sekali aku panik dalam diam tengok katil mama dirush ke zon merah Hospital Tanah Merah pula.

30 minit sepanjang aku tunggu lepas siapkan pendaftaran mama, aku naif. Ingatkan doktor sedang berikan ubat biasa. Tapi hakikatnya?

DOKTOR SEDANG BUAT CPR.

Jantung mama dah berhenti.

Dan lepas 30 minit pun, jantung mama masih tak bergerak. Dan doktor panggil aku semula.

Ada dua pilihan: teruskan CPR selama maksima 40 minit sebelum mereka isytihar mama dah tak ada, atau berhenti sekarang dan biarkan mama pergi semulajadi.

Tapi aku mengaku aku selfish.

Aku minta doktor teruskan CPR. Padahal aku tahu CPR tu menyakitkan. Doktor akan tekan sampai ke tulang. Aku tahu mama dah menderita terlalu lama. Tapi aku tetap tak nak mama pergi seawal tu.

Aku menangis-nangis call semua adik-beradik, suruh datang cepat. Dah tak peduli langsung pandangan orang. Dalam kepala aku, kalau boleh biarlah mama bertahan hingga ahli keluarga lain sampai. Aku tak nak terima berita tu sorang-sorang. Aku tak kuat.
 
Menanti di sini sehingga ke akhir waktu mama

Dan aku tak tahu adakah ia rezeki atau satu kezaliman: lepas 20 minit CPR disambung, jantung mama bergerak semula. Tapi mama perlu intubate, masukkan wayar ke dalam paru-paru, dicucuk segala macam ubat supaya jantung bergerak mengepam darah.

Sebahagian aku rasa gembira sebab kami masih ada peluang bersama mama walaupun sekejap, tapi sebahagian aku rasa bersalah, sebab dah memanjangkan tempoh arwah sakit di hujung hayat. Kaklong kata itu ikhtiar, tapi aku tetap rasa macam aku pentingkan diri 😢

Oh ya, keputusan CT scan tu, memang ada darah beku dalam kepala mama. Saiz 5x5x7cm. Besar. Menekan-nekan otak dari dalam. Kalau dibedah sekalipun, peluang mama sihat semula tu tipis. Sebab buat masa ni, mama hanya bernafas dengan bantuan mesin. Fungsi tubuh lain dah hampir total shutdown.

Doktor bagi pilihan lagi: mahu bawa mama balik ke rumah, 
atau masukkan ke wad hospital ni, yang mana mungkin tak sempat pun tunggu katil sebelum mama pergi. Memang setipis itu peluang untuk mama sihat semula...

Tapi kami pilih untuk tunggu di hospital.

Cukuplah dengan ambulans. Cukuplah dengan perjalanan jauh. Kami dah tak sanggup tengok tubuh mama dilambung-lambung. Sama ada mama sempat masuk wad atau Allah memang takdirkan berakhir hayat arwah di zon merah, biarlah mama tak lagi alami kesakitan.

Sebelum Isyak, doktor bagi peluang untuk abah, kami 5 beradik, cucu-cucu masuk ke zon merah, jumpa mama buat kali terakhir, mohon kemaafan atas segala salah silap. Ralat sikit je sebab keluarga abang kedua aku di Melaka baru dalam perjalanan pulang. Tapi abang pun redha sebab kejadian pun berlaku tanpa disangka kan.

Waktu ni, aku tengok heartbeat ada di sekitar 80-89. Tapi masuk kali kedua atas panggilan doktor untuk ajarkan mengucap, heartbeat tu dah tak kelihatan. Hanya dada mama yang naik turun dipam oleh mesin intubation, yang mana doktor akhirnya tanggalkan sebab memang dah tak ada harapan 💔

Dan arwah akhirnya disahkan meninggal jam 11.10 malam, pada hari Jumaat sepertimana yang arwah selalu doakan.

Sebelum dihantar ke Unit Forensik, jenazah mama ditolak ke satu ruang kecil ni untuk kami bacakan Yasin. Lama aku perhatikan tubuh arwah atas katil stainless steel tu, berharap dada arwah akan naik turun semula dengan hembusan nafas. Kami hampir percaya bunyi kipas yang bergerak di dinding adalah bunyi dengkuran mama sedang tidur.

Tapi semua harapan kami tak jadi kenyataan.

Jam 1.30 pagi, van jenazah masjid terdekat tiba untuk hantarkan arwah pulang ke rumah.

Sepanjang perjalanan pulang, kami rasa macam di awang-awangan. B
ayangkan, lepas bertahun ulang alik teman mama masuk hospital dan balik semula ke rumah dengan sihat, kalini arwah pulang bukan lagi ke pangkuan kami, tapi terus ke Rahmatullah...

Abah memang paling terkesan. Sebab cinta hati selama lebih 40 tahun pergi lebih awal daripada abah yang lebih berusia.

Aku pun, sejak awal mama masuk wad dengan segala macam komplikasi tu, memang terlintas "mungkin ada baiknya arwah pergi daripada terus menderita." Tapi lepas arwah betul-betul pergi, semuanya rasa macam mimpi.

Berat sangat untuk diterima. Tapi kami redha.

Sekarang arwah dah bebas daripada kesakitan dunia. Pergi pun pada hari Jumaat yang mulia, dalam keadaan tenang. Ramai saksi kata wajah arwah bagai sedang tidur. Masa dalam wad pun, misi ingat arwah cuma tidur je.

Ramai sahabat berziarah solatkan dan hantarkan mama. Semua ingat kebaikan mama 😌

Hajat arwah untuk semua anak-anak uruskan pengebumian arwah pun tercapai. Abang kedua aku sempat sampai waktu Subuh. Diketuai adik arwah (makcik kami), kami 6 beradik uruskan pemandian dan pengkafanan. 3 anak lelaki arwah juga solatkan dan sambut jenazah arwah dalam liang lahad.

Alhamdulillah Allah mudahkan perjalanan arwah tinggalkan dunia ni lepas sekian lama menderita. Berkat amalan-amalan baik arwah sepanjang hidup juga, ramai sahabat yang datang mendoakan perjalanan arwah ❤️

Panjang kan cerita ni?

Tapi begitulah kisah terputusnya sumber doa kami daripada seorang insan bergelar ibu. Sekarang hanya tinggal abah tempat kami bermanja, dan kami harap sangat abah masih dipanjangkan usia walaupun dilanda kesedihan lepas kehilangan cinta hati dia.

Apa-apa pun, aku tetap bersyukur.

Siri Diari Dialisis ni bukti walaupun kami hampir kehilangan mama sejak pertama kali disahkan sakit buah pinggang kronik tu, Allah masih pinjamkan masa lebih 5 tahun bersama arwah.

Arwah sempat tengok abang dan kakak aku kahwin, cucu-cucunya lahir, aku konvo kelas pertama, lulus lesen kereta dan jadi drebar bawa arwah dan abah berjalan merata sampai ke Thailand, kerja sampai boleh bagi arwah duit raya. Alhamdulillah banyak yang arwah sempat tunaikan hajat sebelum pergi.

InsyaAllah, kami cuba jaga abah yang terbaik pula untuk lunaskan apa yang kami tak sempat dengan arwah mama. Terima kasih kepada semua yang mendoakan pemergian arwah dan keluarga kami. Semoga yang baik-baik saja untuk kita semua di masa akan datang.

Kepada yang masih ada kedua-dua ibu bapa, berbaktilah selagi hayat mereka masih ada. Sebab apabila Allah berkehendak, bila-bila masa kita hambaNya ni akan pergi, walaupun dalam sekelip mata 🥲

Terima kasih kerana membaca.
Bye dan Assalamualaikum.

SHARE 1 comment

Add your comment

  1. Semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
    Apapon, kita yang masih hidup ini perlu teruskan kehidupan dan mendoakan mereka yang telah pergi. Mak Nasa masih perlukan doa dari Nasa. Allah sayangkan dia, stay strong kay

    ReplyDelete

Sebarang komen akan dinilai dahulu sebelum diterbitkan. Harap bersabar tunggu balasan saya 😘

Your comments will be moderated first before it is published. Kindly wait for my reply till then 😘

Thank you for reading ❤

© NaSa · THEME BY WATDESIGNEXPRESS